Perkhemahan

  • Khemah
Khemah adalah alat perlindungan yang diperbuat daripada kain, kanvas atau lain-lain bahan yang boleh digerakkan. Dalam lain perkataan khemah merupakan satu perkara utama dalam aktiviti berkhemah. Tanpa khemah anda tidak boleh berkhemah. Di bawah ini adalah beberapa jenis khemah yang biasa digunakan untuk berkhemah.
  1.  Khemah ‘A’ tanpa helaian terbang (single walled tent)
  2. Khemah ‘A’ berhelaian (Double walled tent)
  3.  Khemah pengembara (Explorer tent)
  4.  Khemah tiang Satu
  5. Khemah berangka 
  6. Khemah Igloo
  7. Berbagai jenis khemah yang lain mengikut kehendak dan kemampuan anda. 
  •  Perkara-Perkara Yang Perlu Di Ambil Perhatian Sebelum Berkhemah.
a. Perlindungan
Khemah yang anda miliki perlu memberi perlindungan cuaca seperti hujan, panas, angin dan sebagainya. Disamping itu ianya perlu diberi perlindungan dari serangga.

b. Keselesaan
Khemah anda perlu selesa, kerana tempat yang paling utama dalam aktiviti pengembaraan ialah tempat tidur yang selesa. Anda juga perlu mempunyai ruang untuk menyimpan barang-barang anda.

c. Kalis Air
Khemah anda mestilah dari yang jenis kalis air. Terdapat beberapa jenis khemah yang tidak kalis air apabila hujan lebat. Anda perlu pastikan bahawa khemah yang dikatakan kalis air itu benar-benar kalis air. Kalau tidak anda akan menanggung risiko berbasah apabila hujan.

d. Tahan Lasak
Memandangkan perlunya khemah itu ringan, pembuat khemah mengambil kesempatan membuatnya dengan bahan ringan tetapi tidak tahan lasak. Ini perkara penting yang perlu anda ambil ingatan. Khemah perlu ringan disamping itu mesti tahan lasak dalam mana ianya tidak mudah koyak apabila digunakan untuk satu jangka masa yang sesuai dan manasabah.

e. Ukuran
Tentukan ukuran khemah yang sesuai sebelum digunakan dan pastikan keselesaan untuk tidur dan menempatkan barang-barang di dalam khemah.


  •  Keselamatan, ada beberapa perkara yang perlu diutamakan untuk dihindari dan dibuat

1. Jangan mendirikan khemah betul-betul di puncak gunung atau bukit, kerana ini akan menyebabkan kita menjadi "point of contact" sekiranya berlaku kilat atau petir, menjadi penampan sekiranya berlaku ribut atau angin yang kuat. Cara yang sesuai hendak dirikan khemah dalam jarak 4 ke 6 meter dari puncak. Lagi jauh lagi baik. Peristiwa dipanah petir pernah berlaku di sebuah gunung di Negeri Pahang satu ketika dahulu.

2. Jangan dirikan khemah di tepi tebing atau bawah tebing yang curam. Kerana tebing-tebing ini berpotensi untuk runtuh bila berlaku hujan atau sebagainya.

3. Jangan berkhemah terlalu hampir dengan tebing sungai. Banjir kilat di kawasan pendalaman akan berlaku tanpa disedari dan dalam beberapa saat saja air akan naik mendadak menghanyutkan khemah bila berlaku hujan di hulu sungai.

4. Hindari dari berkhemah di laluan binatang "Denai" kerana bila-bila masa saja binatang hutan akan melalui denai berkenaan. Yang paling bahaya adalah kumpulan gajah. Dalam sekelip mata saja khemah yang didirikan akan ranap kerana gajah akan berjalan berkumpulan. Jadi Jarakkan dari denai sekurang-kurangnya 4 ke 5 meter.

5. Sekiranya perlu buat unggun api hendaklah dalam jarak 4 meter dari khemah untuk mengelak percikan bunga api dan membakar khemah.

6. Jangan sekali-kali membawa masuk api ke dalam khemah seperti lampu gas atau minyak, dapur gas atau minyak, menghisap rokok dan sebagainya. Benda-benda ini bukan saja penyebab kebakaran tetapi juga sekiranya khemah bertutup rapat, ianya akan menghabiskan oksigen dan mengeluarkan karbon dioksida dan meracuni udara di dalam khemah. Ini telah berlaku kematian sebagaimana berlaku di Gunung Korbu, Ulu Kinta satu masa dulu.

7. Hindari berkhemah di padang-padang lalang atau resam kerana lalang atau resam kering mudah terbakar. Begitu juga di tengah-tengah padang lapang kerana kemungkinan disambar petir adalah besar.

8. Dilarang sama sekali mendirikan khemah di bawah pokok yang rimbun, kerana bila hujan atau berlaku ribut, dahan-dahan pokok ini dengan daun yang rimbun dan berat amat berpotensi untuk runtuh dan menimpa khemah.

9. Jangan mendirikan khemah di bawah pokok yang mati. Pokok yang mati memang mereput dan akan patah pada bila-bila masa saja. Kemungkinan besar akan menghempap khemah.

10. Pastikan pintu khemah bertutup (zip) bila meninggalkan khemah untuk mengelak dari sebarang binatang atau serangga berbisa memasuki khemah.

11. Bila mendirikan khemah hendaklah pintu khemah tersebut membelakangkan arah tiupan angin untuk mengelakkan dari angin kuat menerobos ke dalam khemah bila pintu khemah di buka dan berpotensi untuk menerbangkan khemah atau paling tidak merusakan khemah.

12. Apa-apa benda tajam parang pisau dan sebagainaya hendaklah bersarung atau disimpan ditempat yang selamat dari terpijak dan senang untuk diambil bila perlu

13. Hendaklah menanda satu tempat bertemu atau berkumpul kembali yang difikirkan selamat sekiranya berlaku apa-apa kecemasan dan semuanya ahli bertepiaran lari ke pelbagai arah. Dan apabila keadaan sudah pulih tempat yang ditanda tadilah semua akan berkumpul semula

14. Setiap ahli atau anggota hendaklah mempunyai wisel untuk digunakan semasa kecemasan. Setiap keperluan tiupan wisel hendaklah diberikan Kod Nada dan jangan ditiup sesuka hati.

Untuk keselesaan, carilah tapak khemah yang rata dan tidak berbatu. Elak dari tapak yang lecak, berlumpur atau bertunggul.

Untuk mendapat kemudahan asas hendaklah berkhemah dekat dengan punca air dan berhampiran denai atau trek.

Satu pesanan penting : Bawa keluar apa yang dibawa masuk, terutama tin dan bekas plastik. Jangan menebang pokok sekiranya tidak sangat-sangat diperlukan. Buang najis hendaklah di dalam lubang dan ditimbus bukan di dalam sungai



  • Memilih Kawasan

1. Sumber Asas 

Untuk memilih kawasan ataupun tapak perkhemahan yang baik, perkara yang paling utama untuk diambil kira ialah sumber alam semulajadi terutamanya punca air. Punca air adalah penting untuk kita memasak, minum, membersihkan diri dan sebagainya. Namun begitu anda DILARANG berkhemah terlalu dekat dengan sungai dikawasan hulu atau berbukit. jika hujan dikawasan ini, terutamanya di sebalah hulu, paras air akan tiba-tiba naik dengan cepat.

2. Bentuk Muka Bumi 

Bentuk muka bumi yang sesuai adalah tanah rata dan kering. Kedudukan tanah tersebut haruslah tinggi sedikit daripada kawasan disekitarnya untuk mengelakkan air bertakung / banjir ketika hujan lebat. Permukaan tanah juga seharusnya tidak berbatu-batu kerana ia tidak menyelesakan ketika tidur. Tambahan pula, ia boleh merosakkan alas khemah anda.

Anda juga TIDAK digalakkan untuk mendirikan khemah di bawah pokok yang besar ataupun yang sudah tua. Kerana dikhuatiri dahan yang besar dari pokok tersebut akan menghempap khemah anda. Anda juga harus memastikan bahawa tapak perkhemahan anda jauh dari semak dan belukar kerana kawasan begini merupakan tempat sarang serangga ataupun binatang merayap seperti ular, kala jengking dan lipan. Bukan itu sahaja, tunas lalang yang tajam boleh mengoyakkan khemah.

Tetapi anda juga diingatkan supaya tidak mencari kawasan yang terlalu lapang, sekurangnya tidak jauh dari tempat anda mempunyai pokok atau bukit untuk mengelakkan ancaman angin. Anda juga dilarang untuk mendirikan khemah yang terlalu dekat dengan kaki bukit kerana bahaya tanah runtuh.

3. Perhubungan 

Kawasan yang anda pilih sekurang-kurangnya mempunyai cara untuk berhubung dengan orang diluar kawasan perkhemahan tersebut seperti jalan raya, telefon awam, balai polis, rumah penduduk kampung dan sebagainya. Ini untuk memudahkan anda mendapatkan bantuan segera jika perlu. Jika anda menjalankan aktiviti ini dikawasan yang terpencil atau jauh kedalam hutan, pastikan anda berhampiran dengan tanah lapang dan tinggi supaya kedudukan anda mudah dikesan dari udara.

4. Sinar Matahari 

Kedudukan anda seharusnya mendapat sinar matahari disebelah pagi untuk tujuan mengeringkan udara lembap dalam khemah dan juga mengeringkan pakaian dan peralatan yang basah. Pemandangan yang indah juga tidak kurang pentingnya kerana ia dapat memberikan ketenangan kepada kita serta perkhemahan kita menjadi lebih seronok.

5. Denai Binatang 

Jangan sekali-kali mendirikan khemah dikawasan denai binatang. Kerana dikhuatiri khemah anda akan menjadi mangsa rempuhan binatang yang menggunakan denai tersebut.

  • Senarai peralatan asas yang perlu anda bawa untuk memastikan perkhemahan anda selamat dan selesa:
a. Khemah yang sesuai.
b. Bag galas
c. Dapur (gas atau minyak – bahan tambahan serta alat gantinya)
d. Pelita (jenis minyak atau gas bersama alat gantinya)
e. Messtin, pinggan, sudu , garpu dan lain-lain.
f. Botol air, kole dan bekas minuman.
g. Pisau dan pembuka tin
h. Lampu picit serta beteri dan lat gantinya.
i. Mancis dan lilin atau bahan penyala api.
j. Kotak pertolongan cemas.
k. Kotak ikhtiar hidup.
l. Tali
m. Ponco atau baju hujan.
n. Parang/kapak kecil.
o. Bekas air tambahan.
p. Selimut atau bag tidur.